“Apabila menggunakan sendiri produk tempatan, saya mula menyedari bahawa usahawan kita mampu menghasilkan produk yang memiliki taraf dan kualiti yang baik untuk diketengahkan, namun saya mencari di mana silapnya apabila ia kurang dikenali dan tidak popular seperti produk-produk yang ada di pasaran.”
Demikian pandangan ikhlas Datin Dr. Nik Sarina Hashim, apabila ditanya tentang produk-produk dari industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan,
Katanya, setelah diteliti, kelemahan kebanyakan pengusaha tempatan adalah dari segi pemasaran, yang mana mereka sebenarnya berhadapan dengan masalah untuk mempromosikan kepada umum.
Jadi, beliau melihat perkara ini sebagai masalah yang perlu diselesaikan dan pasaran online adalah jawapannya.
“Online tidak mempunyai had dan batasan pemasaran dan produk dapat sampai terus ke pengguna.
“Lantaran itu, Amaxmall diwujudkan, yang mana portal ini bukan sekadar menghimpunkan jenama tempatan, malah membantu pengusaha dalam urusan promosi dengan menyediakan kumpulan kreatif untuk membantu cara pengiklanan yang lebih profesional,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Amaxmall, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Ditubuhkan pada 2015, idea bermula daripada suaminya yang mempunyai pengalaman menguruskan hal-hal berkaitan teknologi maklumat dan melihat ada potensi untuk mengembangkan produk-produk IKS ke peringkat yang lebih tinggi.
Nik Sarina mengambil alih portal tersebut setahun kemudian dan menyaksikan peningkatan positif pembabitan usahawan IKS.
Beliau yakin, golongan itu mampu menembusi industri global seperti mana produk-produk luar khususnya dari negara China, Korea dan Jepun, yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia menerusi portal e-dagang.
Malangnya, portal seperti itu jarang memberi peluang kepada produk tempatan untuk mendapat tempat dalam platform mereka.
Ibu kepada tiga orang anak itu menambah, Amaxmall menyediakan perkhidmatan yang komprehensif kepada vendor terutama dalam kalangan usahawan IKS, yang mana pihaknya sendiri yang akan menguruskan setiap operasi perniagaan usahawan.
“Saya hanya mahu usahawan memberikan saya produk yang berkualiti dan stok yang mencukupi. Pasukan saya akan melakukan selebihnya dari segi penggambaran fotografi, penulisan kreatif, muat naik gambar dan deskripsi produk ke portal, serta menyesuaikan iklan produk usahawan semasa tempoh promosi dan kempen dilakukan.
“Kami juga akan mengambil tempahan daripada pelanggan dan menghantar terus kepada pelanggan dalam tempoh satu hingga tiga hari tanpa penglibatan daripada usahawan. Jadi, ini memudahkan mereka untuk memasarkan produk dengan lebih efektif,” katanya.
Menurutnya lagi, Amaxmall disokong oleh lebih 300 jenama menerusi 20 kategori produk termasuk makanan, kesihatan, teknologi, fesyen dan kecantikan, produk penjagaan diri, serta kelengkapan ibu dan anak.
Platform e -dagang itu juga bercadang untuk menambah lagi jumlah jenama yang bernaung di bawahnya.
Begitupun, Nik Sarina tidak menafikan berhadapan dengan cabaran tersendiri sepanjang menguruskan perniagaan, tetapi sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha menyokong lebih ramai usahawan IKS, selain membina kepercayaan dalam kalangan komuniti pembeli.
Walaupun perniagaan yang diceburi agak jauh berbeza dengan dunia perundangan sebelum ini, beliau menyedari cabaran tetap ada, malah kini lebih getir.
Apapun, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan sepenuhnya dari suami serta pasukan yang arif dari segi jualan dan teknologi, yang sedikit sebanyak membantunya mengatasi beberapa kelemahan.
Nik Sarina juga tidak mahu menoleh ke belakang dan masih memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba dan memberanikan diri meneroka dunia di luar ‘tembok’ kemampuan diri.
Tempatkan produk IKS di pasar raya
Memandangkan perniagaan kedai fizikal masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna, Nik Sarina, turut menyalurkan medium tersebut kepada usahawan IKS untuk membantu mereka memasarkan produk ke pasar raya terkemuka seperti Giant, Cold Storage dan Mercato.
Ini bagi menyuntik elemen eksklusif kepada produk tempatan supaya dapat bersaing dengan jenama besar dalam pasaran.
Katanya, pengunjung portalnya sendiri terdiri daripada orang tempatan, jadi dengan turut menempatkan produk IKS di pasar raya secara meluas dapat membantu jenama tempatan dikenali.
Sering kali mendengar rungutan daripada usahawan IKS yang sukar mendapat tempat di pasar raya besar kerana sukar untuk memenuhi syarat ditetapkan, membuatkan mereka hanya menyasarkan pasaran ekspo, karnival dan jualan bazar untuk memasarkan produk.
Nik Sarina mahu mengubah persepsi tersebut dengan meyakinkan pengurusan pasar raya bahawa usahawan IKS juga mempunyai kuota untuk menembusi pasaran yang lebih besar.
Tambahnya, buat masa ini pihaknya berjaya membawa masuk sebanyak 107 jenama ke pasar raya selepas beberapa kriteria diambil kira.
Antaranya, pengeluaran stok yang konsisten, kualiti pembungkusan dan pelabelan produk, memenuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP), selain mempunyai pensijilan halal dan harga yang kompetitif supaya dapat bersaing dengan produk yang dihasilkan syarikat besar.
Beliau juga mengembangkan jaringan pemasaran dengan membuat kerjasama dengan kedai penjagaan diri, kesihatan dan kosmetik, Watsons Online untuk memasarkan produk berbentuk gaya hidup seperti kosmetik dan fesyen daripada vendor yang berdaftar, bagi meluaskan lagi rangkaian pemasaran mereka.
Menerusi Amaxmall, beliau berharap pihaknya dapat menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengkomersialkan produk tempatan ke peringkat global dengan menawarkan peluang yang cukup berharga untuk direbut oleh usahawan.










