TEMERLOH 20 Okt. – Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang didapati melakukan penerokaan haram di Cameron Highlands, dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tegas berdasarkan undang-undang menanti mana-mana individu yang didapati melakukan penerokaan haram di tanah tinggi berkenaan.
“Kerajaan negeri akan terus menguatkuasakan undang-undang tegas dan kita tidak akan berkompromi dengan peneroka-peneroka haram ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang bersama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Semantan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands mendakwa kebun haram dimusnahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Op Gading diteroka semula.
Pada 14 Oktober lalu, tiga warganegara Myanmar yang menduduki kawasan tanah haram terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tiga, Kuala Terla.
Menurut Wan Rosdy, pemantauan dan siasatan terperinci akan dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah Cameron Highlands berhubung perkara tersebut.
“Penguatkuasaan dilaksanakan berterusan memandangkan peneroka haram ini tidak serik dan mengambil kesempatan meneroka tanah,” katanya.










