TEMERLOH 20 Okt. – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak dan individu yang melakukan pencerobohan haram di Cameron Highlands.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak berkuasa daripada Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah Cameron Highlands akan terus melakukan pemantauan dan siasatan sebelum tindakan undang-undang dikenakan.
“Kerajaan negeri akan menguatkuasakan undang-undang tegas dan kita tidak akan berkompromi dengan peneroka-peneroka haram ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang bersama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Semantan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands yang mendakwa kebun haram dimusnahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Op Gading diteroka semula. – UTUSAN ONLINE











