Timbalan Speaker minta menteri, timbalan berdisiplin hadir ke Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Timbalan Speaker minta menteri, timbalan berdisiplin hadir ke Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon meminta menteri dan timbalan menteri untuk lebih berdisiplin menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, walaupun mempunyai tanggungjawab lain sebagai anggota pentadbiran kerajaan, namun mereka perlu mengatur jadual tugas dengan baik agar boleh hadir ke Parlimen.

“Saya tahu menteri, timbalan menteri sibuk, saya tahu mereka ada jadual yang waktunya sama ketika dewan bersidang, bagi pihak Parlimen kita minta pentadbiran menteri disiplin untuk hadir sebagaimana diaturkan.

“Kalau menteri tidak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir dalam sidang Dewan Rakyat, mungkin keutamaan hadir ke program lain boleh diatur dengan cara lebih baik lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas insiden di dalam dewan ketika sesi soal jawab lisan hari ini di mana menteri atau timbalan menteri dari Kementerian Dalam Negeri tidak berada di dalam dewan ketika soalan berkaitan kementerian itu dikemukakan.

Soalan itu berada pada nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dikemukakan Ali Anak Biju (PH-Saratok) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan status dan perancangan pembinaan Ibu Pejabat Polis Saratok yang baharu bagi menggantikan Ibu Pejabat Polis sekarang.

Soalan itu kemudiannya dijawab Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin bagi pihak Menteri Dalam Negeri.

Keadaan itu tidak disenangi Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang kemudiannya bangkit menggesa agar satu peraturan dibuat supaya menteri dan timbalan menteri dapat hadir jika soalan mengenai kementerian masing-masing dikemukakan.

Mengulas mengenai insiden itu, Rashid berkata, perkara itu tidak menjadi isu kerana Peraturan Mesyuarat 24, Dewan Rakyat menyatakan mana-mana menteri boleh menjawab soalan yang dikemukakan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof tidak perlu membuat peraturan.

“Keadaan hari ini mungkin berlaku kerana kita percepatkan sesi soal jawab lisan, selalu hanya sampai kepada soalan keenam, ketujuh atau kelapan, tapi kali ini sampai kepada soalan ke-13 dan ke-14, tambahan pula ada empat orang anggota Parlimen yang sepatutnya bertanya soalan tetapi tidak hadir,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN