IPOH 25 Okt. – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) memohon maaf ekoran berlaku kekecohan dan kesulitan dalam kalangan penyokong apabila tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijual di pekarangan Stadium Perak hari ini habis awal.

Presidennya, Hasnul Zulkarnain Munaim berkata, masalah itu disebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan iaitu mereka yang telah memperoleh tiket kemudian menjualnya semula dengan harga yang tinggi.
Menurutnya, perbuatan sedemikian perlu dihentikan segera dan perlu ada rasa simpati terhadap penyokong lain yang tidak mendapat tiket.
“Pafa meminta maaf ekoran berlaku kekecohan, kesulitan semasa urusan pembelian tiket hari ini. Pafa sudah cuba yang terbaik dengan mengagihkan tiket di setiap daerah dan permintaan sangat tinggi sehingga di luar kemampuan kita untuk mengurus dan mengagihkannya.
“Kami berlaku telus dalam jualan tiket ini, tiada monopoli tapi tidak dinafikan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual pada harga berlipat kali ganda, jadi saya mohon ini dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video dalam laman Facebook beliau, hari ini. – UTUSAN ONLINE










