YANGON 26 Okt. – Mahkamah negara ini membenarkan tiga wartawan tempatan yang ditahan atas tuduhan hasutan kerana menyiarkan artikel tentang perbelanjaan kerajaan dibebaskan dengan jaminan.
Ketua Pemberita akhbar swasta terbesar di negara ini, Eleven Media, Phyo Wai Win dan dua Penyunting, Kyaw Zaw Lin dan Nayi Min ditahan pada 10 Oktober lalu selepas aduan dibuat oleh kerajaan tempatan Yangon.
Ketiga-tiga tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang melarang sebarang penyiaran maklumat yang boleh menyebabkan ketakutan atau bahaya dan boleh menyebabkan seseorang melakukan kesalahan atau mengganggu ketenteraman awam.
Jika didapati bersalah ketiga-tiga mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun.
Wai Win ketika keluar dari mahkamah tersebut berkata, sebagai wartawan beliau menulis berdasarkan maklumat yang benar.
Hakim Tin War War Thein membuat keputusan itu selepas mendapati ketiga-tiga tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri.
“Pertuduhan ini bukan hukuman penjara seumur hidup tetapi penjara maksimum dua tahun dan tertuduh bekerja dengan syarikat di bandar Tamwe, justeru tiada alasan untuk mereka melarikan diri,’’ katanya.
Sebelum penahanan tersebut, ketiga-tiga tertuduh telah menyiarkan sebuah artikel bersama petikan kata-kata daripada ahli Parlimen yang mempersoalkan penggunaan dana bandar termasuk penyelenggaraan pengangkutan bandar.
Kerajaan tempatan Yangon diketuai Ketua Menteri, Phyo Min Thein merupakan protege pemimpin Aung San Suu Kyi dan ahli Parti Demokrasi Liga Kebangsaan. – REUTERS










