GEORGE TOWN – Dua mayat pekerja kontrak daripada tiga mangsa dipercayai warga asing yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong, Jalan Bukit Kukus dekat Relau di sini berjaya ditemui setakat pukul 5.08 petang tadi.
Manakala seorang lagi mangsa yang terselamat mengalami kecederaan di bahagian kepala ditemui pada pukul 3.33 petang tadi.
Mangsa yang maut dikenali Attrul, 35, merupakan warga Bangladesh dan Samsul, 19, warga Indonesia.
Bagaimanapun, identiti mangsa yang terselamat masih belum diketahui dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.

Semua mangsa terbabit dipercayai ditemui di bawah runtuhan kontena yang dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja di situ.
Difahamkan, sidang akhbar berhubung kejadian tersebut termasuk jumlah mangsa terlibat akan diadakan dalam masa terdekat.
Kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira pukul 2 petang tadi ketika hujan turun tanpa henti dari awal pagi. – K! ONLINE










