KUALA LUMPUR – Walaupun kerap dilaporkan akhbar, namun kegiatan Macau Scam menjadi-jadi apabila tiga lagi menjadi mangsa dalam kejadian berasingan di Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak melibatkan kerugian RM40,600 kelmarin.
Kes di Kuantan, Pahang membabitkan seorang doktor pelatih yang kerugian RM12,400 selepas diperdaya kononnya terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak RM1 juta.
Lelaki berusia 28 tahun itu menerima panggilan pada pukul 9.07 pagi daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa diberitahu telah terlibat dengan seorang lagi individu bernama Tan Wai Ping.
“Mangsa kemudian dimaklumkan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, mangsa kemudian telah memindahkan wang ke dalam satu akaun sebanyak RM9,900 dan RM2,500.
Di George Town, Pulau Pinang, seorang wanita rugi RM13,600 apabila ditipu sindiket sama yang mendakwa dia mempunyai hutang berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan bernilai RM85,700.
Wanita berusia 41 tahun itu menerima panggilan telefon kira-kira pukul 11.08 pagi daripada seorang lelaki yang mendakwa kakitangan Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, pengadu kemudiannya bercakap dengan Sarjan polis yang mendakwa bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Mangsa yang ketakutan kemudian memindahkan wang berjumlah RM15,000 sebelum menyedari dia diperdaya.
Di Bintulu, Sarawak, seorang peniaga rugi RM15,000 gara-gara takut setelah diberitahu terlibat kes langgar lari.
Mangsa yang berusia 36 tahun membuat laporan polis semalam selepas tersedar dia dipermainkan sindiket itu.
Ketiga-tiga kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.









