Tidak rasmi: Masjid Tanah, Alor Gajah calonkan Rafizi - Utusan Malaysia

Tidak rasmi: Masjid Tanah, Alor Gajah calonkan Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID TANAH 20 Okt. – PKR Cabang Masjid Tanah hari ini mencalonkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga pukul 7.30 malam ini dengan undi sebanyak 147 mengatasi Datuk Seri Mohamed Azmin Azli yang memperoleh 109 undi.

Pemilihan cabang itu yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abu Seman, Paya Rumput menyaksikan empat undian tertingi bagi jawatan Naib Presiden diperolehi oleh Nurul Izzah Anwar iaitu sebanyak 193 undi, diikuti William Leong Jee Keen (164 undi), Datuk Johari Abdul (137 undi) dan Zuraida Kamaruddin (133 undi).

Bagi jawatan Ketua Cabang Masjid Tanah, Halim Bachik mendahului dengan 121 undi, meninggalkan dua lagi pencabar iaitu Abdul Wahab Ibrahim (110 undi) dan Ratu Naga (60 undi).

Sementara itu bagi pemilihan Cabang Alor Gajah yang berlangsung di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Machap di Kampung Bukit Bulat, keputusan tidak rasmi menunjukkan Rafizi memperolehi sebanyak 656 undi meninggalkan Mohamed Azmin yang hanya memperoleh 391 undi.

Empat calon Naib Presiden pula dikuasai oleh Nurul Izzah yang memperoleh 745 undi, diikuti S. Kesavan (544 undi), Jee Keen (486 undi) dan Zuraida yang memperoleh 464 undi.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin pula mendahului pencalonan tidak rasmi bagi jawatan Ketua Cabang Alor Gajah dengan memperoleh 481 undi, diikuti dua lagi pencabarnya, Ahmad Abdul Wahid dan Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Keputusan rasmi bagi kesemua enam cabang di Melaka masih belum diperoleh setakat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN