KUCHING 21 Okt. – Tindakan kerajaan negeri menghalang ketua masyarakat dan kaum ke program bukan anjuran mereka adalah tidak munasabah dan bertanggungjawab malah menghina kepmpinan akar umbi itu di negeri ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, halangan tersebut dibuat melalui arahan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani kepada semua pejabat residen difahamkan pada 11 Oktober lalu.
Katanya, kerajaan negeri seharusnya menghormati institusi itu meskipun memberi elaun kepada mereka namun ketua masyarakat dan kaum bukanlah penjawat awam ataupun budak sekolah.
“Arahan ini juga tidak mengikut perlembagaan yang mana menjamin kebebasan persatuan (association) dan bergerak (movement).
“Sehubungan itu, ketua kaum dan masyarakat diminta tampil dan DAP Sarawak bersedia memberikan perkhidmatan perundangan bagi membuat semakan kehakiman secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Sarawak sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak ada menerima sebarang kenyataan rasmi daripada menteri berkenaan kecuali ada pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mendakwa tindakan itu berikutan jabatan persekutuan tidak menjemput mereka dalam majlis yang diadakan.
“Dua majlis rasmi kementerian saya di Bintulu sekitar dua minggu lalu mendapati seorang penghulu diarahkan pejabat residen untuk tidak hadir.
“Seorang tuai rumah pula diarahkan tidak membenarkan kami membuat program meningkatkan kesedaran pengguna di rumah panjang berkenaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










