Tidak hadir sesi soal jawab kerana ada program rasmi di Putrajaya - Utusan Malaysia

Tidak hadir sesi soal jawab kerana ada program rasmi di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Mohd. Azis Jamman tidak hadir sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini kerana mereka menghadiri program rasmi di Putrajaya.

Mohd. Azis ketika memberi penjelasan itu berkata, beliau tidak menyangka soalan nombor 13 membabitkan kementeriannya dibaca dalam sidang pagi tadi kerana kebiasaannya, hanya 10 soalan pertama sahaja yang sempat dibentangkan.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar telah mengambil langkah persediaan termasuk memaklumkan kepada pegawai-pegawai kementerian untuk bersiap-sedia.

“Kebetulan kita ada program rasmi di kementerian mengenai pemberian kewarganegaraan yang diberikan sendiri oleh Menteri dan saya pun hadir. Kita pun tak sangka empat ahli Parlimen tak datang hari ini.

“Tetapi kita sudah bincang dengan kementerian tadi dan telah memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat (Datuk Roosme Hamzah) malah pegawai-pegawai saya juga sudah memberi jawapan bertulis kepada wakil (Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd. Radzi Md. Jidin),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Azis berkata, jika Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memiliki maklumat mengenai ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, beliau perlu menyerahkan kepada kementerian.

Kata beliau, bekas Menteri Pertahanan itu tidak perlu ke China untuk menjejak Jho Low sebaliknya kementerian boleh mencari ahli perniagaan tersebut berdasarkan maklumat yang diberi.

“Lebih baik beliau datang dan tampil bagi maklumat pada pihak kita, baik polis atau kementerian, kita tahu bagaimana nak cari dia. Tapi, kalau beliau nak bantu, sepatutnya dari dulu beliau sudah bantu,” katanya.

Isnin lalu, Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan memaklumkan, beliau bersedia menggunakan jaringan hubungannya dengan China untuk mencari Jho Low bagi merungkai segala persoalan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN