KUALA LUMPUR 29 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sesekali mencurigai perjanjian dan persefahaman yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Justeru, beliau menyifatkan tanggapan segelintir pihak kononnya desas-desus 40 Ahli Parlimen UMNO yang akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menjadi penamat hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan sebagai tafsiran media sahaja.
“Terima kasihlah dia (Tan Sri Annuar Musa) prihatin dengan perjalanan saya, tapi saya tidak fikir begitu.
“Ini semua bacaan dan tafsiran media seperti sesuatu helah yang besar, konspirasi berulang dari tahun 1998, itu tafsiran media. Saya tiada sebab untuk mencurigai perjanjian dan persefahaman di antara kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Baru-baru Annuar yang juga Setiausaha Agung UMNO dilaporkan berkata, dakwaan oleh Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Datuk A Kadir Jasin itu sebagai provokasi ibarat mahu menyekat kemaraan Anwar.
Sementara itu, ditanya sama ada kehadiran ahli-ahli Parlimen UMNO ke dalam Pakatan Harapan memberi kesan baik kepada gabungan parti kerajaan itu, Anwar berkata perkara tersebut perlu dibincangkan.
“Seperti mana yang disebut oleh Dr. Mahathir, teliti tengok biar bebas dahulu dan bincang bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










