KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menetapkan tempoh untuk melaksanakan rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Tafsiran 1948/1967 yang memisahkan kuasa Pendakwa Raya dan kuasa Peguam Negara.
Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin mengakui perkara itu ada digariskan dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di negara ini, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dan bagi maksud ini Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan adalah terpakai,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin mengetahui bila kerajaan PH hendak membentangkan rang undang-undang tersebut dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), Peguam Negara berperanan bukan sahaja sebagai Pendakwa Raya namun menjalankan tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Kabinet mengenai perkara berkaitan undang-undang dan melaksanakan tugas lain yang bersifat undang-undang.
Fasal (3) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika rang undang-undang itu telah disokong pada bacaan kali kedua dan ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga.
Janji ke-15 dalam Manifesto PH di bawah Memisahkan Pejabat Pendakwa Raya Negara Daripada Pejabat Peguam Negara, PH menyatakan:
1. Peguam Negara akan dilantik daripada kalangan Ahli Parlimen yang berkelayakan dan beliau akan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan. 2. Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian. 3. Beliau akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang. – UTUSAN ONLINE











