KANGAR – Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli menafikan dakwaan terdapat pemimpin dan ahli akan meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Mohd. Shukri berkata, setakat ini, beliau tidak mendengar sebarang khabar angin atau berita yang mengatakan terdapat pimpinan dan ahli Pas bakal menyertai parti Amanah.
“Bagi saya ini sekadar provokasi dan khabar angin sebagai cubaan untuk melemahkan Pas.
“Setakat ini, di Perlis, tiada pimpinan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parti Pas yang menyertai Amanah malah sekiranya ada jumlahnya amat kecil dan hanya melibatkan ahli sahaja,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Media melaporkan hari ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan beberapa pemimpin Pas akan menyertai parti itu pada masa akan datang.
Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya juga sedang berhubung dengan beberapa kepemimpinan Pas di semua peringkat yang mungkin boleh menyertai Amanah kelak.
“Itu (pemimpin Pas menyertai Amanah) adalah kemungkinan yang saya rasa akan berlaku pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan ke-2 Amanah Kawasan Bakri di Muar, Johor malam semalam. – K! ONLINE










