PUTRAJAYA 26 Okt. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memutuskan untuk menghentikan sepenuhnya pengeluaran permit import (AP) bagi sampah plastik secara serta-merta.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri berhubung Isu Lambakan Sisa Plastik Import di Malaysia.
Katanya, mesyuarat itu melibatkan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Langkah ini ke arah memperkasa industri plastik tempatan dengan kerangka masa phase out dalam tiga tahun akan datang. Kita selepas ini akan terus bergantung kepada industri plastik tempatan.
“Industri plastik ini membawa nilai ekonomi lumayan dengan pendapatan kira-kira RM30 bilion setahun di Malaysia, manakala di seluruh dunia dianggarkan RM600 bilion setahun, sekali gus mencerminkan prospeknya yang besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini ini melaporkan gesaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik agar kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sisa plastik dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk dikitar semula di negara ini yang pada tahun lalu sahaja mencatat jumlah 550,000 tan bagi mengelak kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
Mereka melihat perkara itu belum memadai kerana sisa plastik domestik sendiri cukup banyak untuk diuruskan.
Sebelum ini, kementerian menghentikan pemberian AP sisa plastik untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa 23 Julai lalu.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, mesyuarat hari ini turut bersetuju untuk mengkaji semula kriteria import plastik berkualiti seperti plastik industri, plastik homogenous dan plastik bersih.
Katanya, mesyuarat berkenaan turut bersetuju dalam melaksanakan kajian mengenai peranan industri plastik tempatan bagi memastikan kebergantungan negara kepada industri dapat dipertingkatkan.
“Kementerian turut giat menggerakkan usaha penghapusan kilang-kilang plastik haram di seluruh negara,” katanya.










