KLANG – Fenomena air pasang besar yang berlaku awal hari ini tidak menyebabkan banjir di daerah ini mahupun menjejaskan kawasan pantai di Selangor.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, bagaimanapun hujan lebat semalam menyebabkan kejadian banjir kilat di Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan dan Kampung Delek Baru yang turut menyaksikan 11 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Telok Pulai, Klang.
“Benteng kepada pesisir pantai kukuh dan berada dalam keadaan baik selain tiada rebakan berskala besar di daerah Klang.
“Fenomena air pasang hari ini tidak mengakibatkan sebarang kawasan dilanda banjir di Klang setakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Sungai Keramat, di sini hari ini.
Beliau berkata, kemuncak air pasang di pesisiran pantai negeri Selangor setinggi 5.6 meter dicatatkan pada 6.39 pagi tadi namun ketinggian ban pada enam meter menghalang limpahan air tersebut. – Bernama











