KUALA TERENGGANU 14 Okt. – Terengganu FC II (TFC II) yakin mampu melakar sejarah menjadi pasukan pertama merangkul Piala Cabaran 2018 dalam perlawanan akhir menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam esok.
Jurulatihnya, Tengku Hazman Raja Hassan menegaskan dengan semangat pemain yang berada pada tahap memuncak, kemenangan itu kelak tentunya cukup manis selepas aksi suram sepanjang kempen Liga Premier, dan dijadikan hadiah pertama untuk negeri musim ini.
Tengku Hazman yang sebelum ini menggalas tugas sebagai penolong jurulatih berkata, Ini merupakan pertemuan keenam antara TFC II dengan UKM FC, dan kedua-dua pasukan sudah memahami kelemahan dan kekurangan lawan masing-masing.
“Saya sentiasa mengingatkan pemain untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada selain perlu mengelak daripada melakukan kesalahan-kesalahan kecil supaya tidak mengganggu rentak perlawanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pra- perlawanan di Bilik Mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Wisma Seri Amar di sini petang ini.
Pada perlawanan akhir pertama Piala Cabaran 2018, UKM FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selepas terikat 2-2 dengan TFC II di Stadium Shah Alam, Selangor.
Keputusan tersebut menyaksikan kelebihan memihak kepada TFC II yang memperoleh dua gol di tempat lawan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di Kuala Terengganu.
Mengulas lanjut, Tengku Hazman berkata, tidak timbul isu Piala Cabaran hanya dianggap sebagai piala sampingan kerana rata-rata pasukan yang beraksi tidak kurang hebatnya.
“Nilai piala ini tinggi buat pasukan kerana kami yang menyertainya dan akan memastikan kejuaraan memihak kepada TFC II.
“Saya juga berharap para pemain dapat merasai apa yang saya rasa dan dapat bermain dengan bersungguh-sungguh demi kehormatan dan kebanggaan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali UKM FC, Sulaiman Hussein turut mendambakan kejuaraan buat pasukan kendaliannya dalam perlawanan tersebut.
Sulaiman berkata, saingan Piala Cabaran merupakan platform berguna buat para pemain mempamerkan aksi serta kebolehan mereka untuk dinilai oleh pasukan-pasukan besar di luar sana.
“Ini merupakan peluang terbaik kami untuk catat kemenangan dan saya yakin pemain juga mempunyai hasrat yang sama. Patinya kami akan cuba pamerkan aksi terbaik untuk bawa pulang trofi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










