KUALA TERENGGANU 23 Okt. – Tidak sebagaimana Perak, Terengganu FC (TFC) bukanlah pasukan yang dijangka oleh umum pada awalnya bakal beraksi di pentas final Piala Malaysia 2018, berasaskan ciri gempak tentang kelebihan lawan di peringkat separuh akhir.
Namun selepas menundukkan ego juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad Penyu mula dilihat mempunyai keupayaan seimbang dengan saingan terakhir juara tujuh kali itu, dan peluang untuk merangkul piala berprestij buat kali kedua Sabtu ini selepas 2001 semakin diperkatakan.
Jika ini dapat dibuktikan dengan semangat baharu yang kian berkobar bersama sokongan peminat yang tidak lagi sabar menunggu, akan menutup tirai siri momentum kebangkitan semula Terengganu dalam arena bola sepak tahun ini.
Kejayaan dilakar oleh skuad ‘pelapis’ negeri yang muncul sebagai naib juara Piala Emas Raja-raja manakala TF11 merangkul kejuaraan sulung Piala Cabaran sementara TFC III meraih Piala Presiden di samping TFC IV yang muncul sebagai naib juara Piala Belia dan skuad Terengganu City menjuarai Piala FAM seharusnya menyemarakkan skuad senior Penyu.
Kali pertama dan terakhir TFC yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu menjulang Piala Malaysia pada tahun 2001 apabila menewaskan Perak 2-1 dalam final di Stadium Nasional manakala Perak kali terakhir memenanginya pada tahun 2000.
Irfan Bakti Abu Salim, jurulatih berusia 67 tahun, yang mengemudi sehingga membawa Terengganu ke pentas Piala Malaysia tahun 2011 sekali lagi berpeluang memahat sejarah penglibatannya di negeri ini bersama pemain tunggal yang pernah beraksi ketika itu, Mohamad Ashari Shamsudin.
Begitu juga dengan Lee Andrew Tuck, pemain import yang dilihat sebagai arkitek merancang gerak skuad mengakui tidak sabar untuk beraksi di pentas final pertama dalam kancah Liga Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
“Saya mahu menamatkan musim ini dengan pingat juara. Keluarga saya juga akan hadhir untuk menyaksikan perlawanan akhir nanti,” ujarnya.
Sementara itu 30,000 keping tiket yang diagihkan untuk penyokong di negeri ini akan mula dijual di seluruh daerah serentak Khamis ini dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim menjangkakan akan habis dijual dalam tempoh sehari sahaja.
“Di peringkat daerah, tiket diagihkan menerusi persatuan bola sepak daerah masing-masing untuk dijual manakala 10,000 tiket daripada keseluruhannya melalui kelab-kelab penyokong sebagai menghargai kesetiaan mereka,” ujarnya di sini hari ini.
Kerajaan negeri pula menjanjikan ganjaran durian runtuh kepada skuad negeri jika membawa pulang piala namun belum diumumkan dengan harapan pemain lebih memberi fokus kepada komitmen mempamerkan aksi terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika bercakap kepada pemberita berkata, selain itu kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan Terengganu akan sekali lagi mendapat cuti perisitiwa kelak jika harapan seluruh rakyat untuk melihat Piala Malaysia berada di Terengganu tercapai.











