KUALA NERUS 25 Okt. – Jawatankuasa Pengurusan Tiket Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menjalankan siasatan terperinci bagi meneliti keberkesanan kaedah pengagihan tiket untuk final Piala Malaysia antara TFC menentang Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, satu ‘post mortem’ akan dilakukan berhubung perkara itu dan sekiranya kaedah sedia ada didapati tidak lagi relevan, ia akan diubah kepada secara berpusat.
“Kita akan minta jawatankuasa pengurusan tiket ini buat laporan bagi meneliti keberkesanan kaedah dan teknik-tekniknya, kita akan perhalusi balik lepas ini dan kalau tak sesuai, kita akan buat kaedah agihan secara berpusat atau satu pusat jualan tiket,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh menyatakan perkara itu dalam sidang media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.
Hishamuddin menjelaskan, kaedah agihan tiket final Piala Malaysia kali ini melibatkan kesemuanya 30,000 keping dan daripada jumlah itu, kira-kira 7,500 keping diagih kepada persatuan-persatuan bola sepak di lapan daerah di negeri ini manakala 2,000 keping dijual di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Selebihnya, kata beliau, diberikan kepada kelab penyokong, pertubuhan belia, kelab sukan, akademi bola sepak, bekas-bekas pemain bola sepak negeri serta pasukan bola sepak sedia ada, tidak terkecuali pelbagai agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC).
“Jumlah tiket yang telah kita keluarkan hari ini adalah 28,000 keping, cuma kita tertanya-tanya macam mana ada yang dah dapat tiket malam tadi lagi. Sepatutnya hari ini mula dijual.
“Justeru itu kita minta jawatankuasa pengurusan tiket siasat juga apa yang berlaku. Kalau perlu dibawa kepada pihak polis, kita akan minta polis siasat,” tegasnya.
Beliau seterusnya memberi jaminan tidak wujud sebarang campur tangan politik dalam pengurusan bola sepak di Terengganu termasuk dalam isu agihan tiket final Piala Malaysia Sabtu ini.
“Kita tak ambik sikap main politik dalam pengurusan bola sepak Terengganu, kita tak tengok sama ada biru, hijau atau oren (bendera parti). Apa yang kita fokus adalah hitam dan putih (bendera Terengganu),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










