KUALA TERENGGANU 25 Okt. – Irfan Bakti Abu Salim yang sebelum ini diberi bayangan akan beralih arah, kekal di negeri ini sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi cabaran lebih hebat musim depan.
Beliau yang buat kali kedua membawa Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia, berada dalam senarai pembentukan pengurusan TFC 2019 yang diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dalam satu kenyataan.
Selain itu, mengikat Irfan, Hishamuddin turut mengumumkan jurulatih TFC II musim ini, Tengku Hazman Raja Hassan akan terus mengendalikan skuad itu musim depan beraksi dalam saingan Liga FAM manakala Badrul Hafzan Razali kekal bersama TFC III sementara Subri Sulong bersama TFC IV.
“TFC 1 akan berada di pentas final Piala Malaysia pada Sabtu ini menentang pasukan Perak. TFC II baru sahaja berjaya bergelar juara dalam Piala Cabaran yang baru diperkenalkan walaupun di peringkat awal, prestasinya merosot.
“TFC III bergelar Juara Piala Presiden dan tewas bersaing ketika Sukma berlangsung tempoh hari. Manakala TFC IV mampu ke pentas akhir Piala Belia,” ujarnya.
Sambil menyatakan rasa syukur atas kejayaan seluruh pasukan Terengganu yang amat memberangsangkan mutakhir ini beliau berharap mereka yang dipilih dapat mempersembahkan kualiti kerja yang lebih cemerlang akar kekal sebagai satu kuasa sukan bola sepak tanah air.
Di samping itu, beliau mempelawa sektor swasta dan individu untuk bersama sebagai rakan penaja dan bergerak sebagai satu pasukan secara ‘menang-menang’ kerana aspek kewangan merupakan salah satu cabaran secara getir dalam saingan musim depan.
Berikut adalah senarai lengkap pengurusan semua pasukan –
Pasukan Terengganu FC Liga Super 2019:
Pengurus – Ahmad Shahrizal Yahaya
Penolong Pengurus – Zul Fadli Rozi
Ketua Jurulatih – Irfan Bakti Abu Salim
Pasukan Terengganu FC II Liga FAM (Feeder Club) 2019:
Pengurus – Jasmira Othman
Penolong Pengurus – Che Wan Azlizan Che Wan Abu Bakar
Ketua Jurulatih – Tengku Hazman Raja Hassan
Pasukan Terengganu FC III (Piala Presiden) 2019:
Pengurus – Mohd Rusdi Hamat
Penolong Pengurus – Zulkifli Nawi
Ketua Jurulatih – Badrul Hafzan Razali
Pasukan Terengganu FC IV (Piala Belia) 2019:
Pengurus – Mohd Yahaya Mohd Noor
Penolong Pengurus – Ramlee Othman
Ketua Jurulatih – Subri Sulong – UTUSAN ONLINE










