KUALA NERUS – Sebanyak 438 kes keracunan makanan dilapor di seluruh negeri Terengganu antara bulan Januari hingga September lepas.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 488 kes sepanjang tahun lalu.
“Daripada 438 kes itu, sebanyak 211 kes keracunan makanan melibatkan murid di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
“Kebanyakan kes yang dilapor membabitkan menu berasaskan ayam sama ada yang berkuah atau pun tidak,” katanya selepas merasmikan Karnival Keselamatan Makanan peringkat Terengganu di pasar raya Giant, Gong Badak di sini hari ini.
Menurut Mohd.Jusoh, agen penyebab keracunan makanan tersebut antaranya berpunca daripada bakteria salmonella, staph aureus atau bacillus cereus.
“Orang ramai dinasihati supaya mengamalkan tiga langkah keselamatan iaitu lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelak keracunan.
“Walaupun nampak remeh, jangan abaikan langkah tersebut kerana kita tidak mahu kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar,” ujarnya. – K! ONLINE










