SHAH ALAM 26 Okt. – Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menolak label pilihan yang diberikan kepada pasukannya menjelang final Piala Malaysia menentang Perak esok.
Skuad Penyu dianggap pilihan untuk mengalahkan Bos Gaurus selepas mengejutkan juara bertahan dan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir.
“Sebelum ini kami beraksi seperti final ketika menentang JDT dalam separuh akhir, namun cabaran separuh akhir dan akhir sama sekali berbeza.
“Aksi separuh akhir berjalan secara timbal balik berbanding final yang ditentukan dalam tempoh 90 minit. Kalau ikut rekod pertemuan (Liga Super), peluang Terengganu dan Perak sama rata.
“Apa yang perlu dilakukan pemain adalah kurang melakukan kesilapan dan berjaga-jaga dalam tempoh 15 minit pertama. Wander Luiz dan Gilmar da Silva adalah dua pemain Perak yang perlu diawasi,” katanya Irfan Bakti dalam sidang akhbar perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam hari ini.
Dalam Liga Super musim ini, Perak menang 3-2 pada pertemuan pertama di laman sendiri, sebelum kalah 0-2 di Kuala Terengganu. – UTUSAN ONLINE










