Tengok 'kapal terbang' jadi hiburan - Utusan Malaysia

Tengok ‘kapal terbang’ jadi hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Okt. – Ketua Pembangkang, Datuk Md. Alwi Che Ahmad mencuit hati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan apabila membangkitkan aktiviti rakyat yang menjadikan jalan di sepanjang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai lokasi ‘riadah’.

Menurut Md. Alwi, kekurangan taman rekreasi, terutama di bandar ini menyebabkan penduduk tidak mempunyai pilihan, selain membawa keluarga bersantai di tepi jalan dan menjadikan aktiviti menonton kapal terbang sebagai hiburan pada waktu petang.

“Saya sedih ada, malu pun ada apabila ada keluarga pergi berhibur di lapangan terbang. Pergi tengok kapal terbang turun dan naik. Tidak ada ada tempat di dunia ini menjadikan kapal terbang sebagai hiburan selain Kelantan.

“Sebab itulah ‘taman’ terbesar yang ada di sini untuk mereka berhibur. Kalau kita tengok di negara lain, setiap bandar, mesti ada taman utama sebab itulah yang diperlukan penduduk di bandar. Kelantan patut buat perkara sama,” katanya.

Md. Alwi (BN-Kok Lanas) berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam sesi soal jawab lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan Abdul Aziz Kadir (Pas-Jelawat), Ahmad menjelaskan terdapat tiga perkara yang menjadi fokus baharu kerajaan negeri iaitu menambah peluang pekerjaan, menangani gejala sosial dan meningkatkan kebersihan serta keceriaan negeri.

Sebagai reaksi terhadap kenyataan Md. Alwi, Ahmad berkata, pembangunan taman rekreasi di Kota Bharu sukar dibuat kerana kawasan terhad akibat kesilapan perancangan pembangunan bandar ini sejak awal namun perkara itu mendapat perhatian kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun kata beliau, langkah penghijauan kawasan telah diberi keutamaan terhadap sekitar bandar baharu Tunjong yang kini sedang dibangunkan.

“Kita alu-alukan cadangan Kok Lanas dan berusaha sebaik mungkin meningkatkan tahap keceriaan dan kehijauan bandar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN