IPOH 24 Okt. – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemukan mati tertiarap dengan kesan tembakan menembusi kepalanya di tepi berek dalam kawasan Balai Polis Pekan Baru di sini.
Mayat S. Pritviraj, 29, ditemukan di tepi longkang dalam keadaan berpakaian seragam polis oleh seorang pekerja pembantu awam balai itu ketika hendak melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan belakang berek tersebut, kira-kira pukul 7.55 pagi.
Difahamkan, turut ditemukan pada mayat mangsa yang belum berkahwin itu ialah senjata jenis MP5.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan awal mempercayai kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi dan mangsa mati dengan kesan tembakan menembusi kepalanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca kejadian dan setakat ini dikategorikan mati mengejut.
“Setakat ini, polis mengesyaki tembakan datang daripada senjata yang digunakan oleh anggota itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa baru ditugaskan kembali di Balai Polis Pekan Baru dua hari lalu dan sebelum ini pernah bertugas bersama pasukan petugas khas Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Sementara itu, seorang ibu saudara mangsa yang enggan dikenali dan ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, Pritviraj merupakan anak kedua daripada lima beradik dan mendiang amat rapat dengan keluarganya.
Jelasnya, dia sering menghubungi keluarganya yang menetap di Kajang, Selangor dan pulang ke kampung halaman sebulan sekali.
“Kali terakhir dia hubungi ibunya malam semalam dan keadaannya baik saja, malah bercakap seperti biasa.
“Jika ada masalah sama ada pekerjaan atau peribadi, dia pasti akan berkongsi dengan keluarga. Saya tahu dia merupakan seorang yang amat komited dalam pekerjaannya dan kematian ini amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.











