TELUR penyu harus dimakan tetapi penyu tidak harus dimakan. Apakah rasional di sebalik hukum ini?
DALAM Mazhab Syafie, semua jenis telur adalah suci maka ia halal dimakan. Telur ayam adalah suci, manakala ayam pula adalah haiwan yang halal. Telur buaya adalah suci, namun buaya adalah haram dimakan. Ini kerana telur adalah suci walaupun haiwan itu mungkin tidak halal.
Maka begitulah dengan penyu. Telur penyu adalah suci maka harus dimakan. Bagaimanapun, penyu adalah haiwan dua alam dan haiwan jenis ini tidak harus dimakan dalam Mazhab Syafie.
Namun, telur yang memudaratkan tidak harus dimakan. Jika kajian membuktikan, terdapat telur yang beracun atau mempunyai mudarat besar kepada manusia, maka telur sebegini tidak harus dimakan.
Telur penyu adalah halal dan harus dimakan. Namun perhatian juga sewajarnya diberikan kepada undang-undang yang mengawal penyu dan pembiakan haiwan itu.
Adalah dimaklumi bahawa penyu sedang mengalami kepupusan. Oleh itu, sewajarnya keharusan makan telur penyu tidak diamalkan demi memelihara kelangsungan penyu.
Kena ‘kaki ayam’ di kubur?
Adakah wajib kita menziarahi kubur dengan tidak memakai kasut atau selipar?
TERDAPAT riwayat hadis bahawa Nabi SAW melihat seorang lelaki memakai alas kaki ketika berjalan di kubur. Maka Baginda menyuruhnya membuka alas kaki itu. Hadis ini sanadnya sahih dan ia hadis sahih. Berdasarkan hadis ini, ada sebahagian ulama berpendapat bahawa haram berjalan di kubur dengan memakai kasut atau selipar.
Bagaimanapun, ada riwayat hadis yang lain bahawa mayat mendengar bunyi tapak kasut seseorang. Hadis ini juga sahih. Berdasarkan hadis ini, ada ulama berpendapat bahawa tidak haram memakai kasut ketika berada di kawasan kubur.
Pada pendapat saya, kita sewajarnya memerhatikan juga mudarat jika tidak memakai selipar atau kasut. Contohnya kaca dan duri. Juga kuman-kuman yang ada.
Oleh itu, tidak salah untuk memakai selipar atau kasut ketika berjalan di kawasan kubur. Adapun perintah Nabi SAW untuk membuka selipar atau alas kaki ketika di kubur, ia tidaklah sampai ke tahap wajib.
Hukum ikut uruf
Seorang lelaki bersumpah untuk tidak makan daging. Kemudian lelaki itu makan ikan. Adakah dikira melanggar sumpah dan perlu membayar kaffarah sumpah?
TIDAK perlu membayar kaffarah sumpah. Ini kerana penggunaan lafaz daging biasanya merujuk kepada daging haiwan seperti daging lembu, bukannya ikan. Ini kerana adat dan ‘uruf’ masyarakat menyebut ikan sebagai ikan, bukannya daging ikan.
Bukan zihar!
Suami saya berkata kepada saya: “Siku awak macam siku emak abang”. Adakah jatuh zihar?
ZIHAR adalah ucapan si suami yang menyebut belakang isterinya sama dengan emak si suami. Penyamaan ini juga diperluas kepada anggota badan yang lain.
Ucapan ini menjadikan hubungan suami isteri terhenti seketika sehinggalah si suami membayar kaffarah iaitu memerdekakan seorang hamba.
Jika tidak mampu, maka perlu berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu, maka beri makan 60 orang miskin.
Zihar adalah budaya masyarakat Arab. Ia adalah pintu kepada perceraian.
Pada pendapat saya, zihar tidak berlaku dalam masyarakat Melayu. Ini kerana bukanlah budaya Melayu untuk menzihar si isteri. Juga tiada niat untuk menceraikan si isteri melalui kaedah zihar.
Ini kerana adat dan ‘uruf’ juga diambil kira dalam penentuan hukum syarak.
Oleh itu, ucapan suami puan yang menyamakan siku puan dengan siku ibunya tidaklah menjadikannya sebagai zihar.










