Teksi: Berubah atau tersadai menjadi sejarah buruk - Utusan Malaysia

Teksi: Berubah atau tersadai menjadi sejarah buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA sedikit rasa simpati apabila mendengar rintihan pemandu-pemandu teksi yang semakin kehilangan pelanggan berikutan ­kemunculan Grab. Bagaimanapun rasa simpati ini hanya kepada para pemandu teksi yang jujur dan ikhlas dalam mencari rezeki. Bukannya kepada pemandu teksi jahat, berlagak ala samseng, enggan menggunakan meter dan mengenakan tambang sesuka hati.

Mereka mendakwa perkhidmatan teksi sudah tidak laku sejak munculnya e-hailing. Mereka sudah tidak boleh mencari makan lagi sejak Grab mula berlegar di jalan raya beberapa tahun lalu. Memang betul orang ramai sudah tidak berminat dengan teksi. Perkhidmatan itu dipandang dengan penuh negatif. Terlalu banyak cerita buruk menyelubungi perkhidmatan ini walaupun masih terdapat dalam kalangan mereka pemandu yang baik, berdedikasi, suka membantu dan jujur dalam mencari rezeki.

Pemandu teksi (walaupun bukan semua) pada mata pelanggan adalah orang yang tidak jujur, cekik darah dan samseng. Persepsi ini menyebabkan para pemandu teksi yang baik dan berkhidmat dengan jujur turut terkena tempias tidak elok ini. Oleh kerana terlalu banyak cerita dan insiden tidak enak berlaku ke atas pelanggan, pada satu tahap dianggap meloyakan.

Rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di ibu kota dan bandar-bandar besar sudah tidak boleh bertolak ansur lagi dengan sikap buruk segelintir pemandu teksi yang enggan menggunakan meter, mengenakan tambang yang tidak masuk akal, berlagak samseng dan memilih pelanggan. Ini belum diambil kira lagi keadaan teksi itu sendiri yang uzur, kotor dan tidak terurus. Perkara ini menjadikan orang ramai ‘benci’ kepada perkhidmatan teksi.

Apabila perkhidmatan e-hailing seperti Grab, Uber dan beberapa lagi muncul di Malaysia, orang ramai yang menjadikan teksi sebagai pengangkutan harian merasa sangat lega. Mereka sudah ada pilihan lebih baik. Mereka tidak perlu lagi berhadapan dengan perangai buruk pemandu teksi.

Dengan aplikasi elektronik mudah hanya di hujung jari dan tambang yang jauh berpatutan, orang ramai sudah semakin selesa dengan teksi e-hailing. Tidak ada lagi sesi tawar menawar harga, berhenti tetapi enggan mengambil penumpang serta disembelih dari segi tambang!

Percayalah orang ramai terutama golongan muda tidak akan memilih lagi teksi sebagai pengangkutan awam mereka sampai bila-bila. Teksi akan menjadi bahan sejarah buruk dalam sistem pengangkutan awam negara. Warga kota akan lebih mengenang budi kehebatan bas mini sebagai medium pengangkutan yang lagi banyak berjasa berbanding teksi.

Para pemandu teksi yang tergolong di dalam kumpulan tersebut perlu menerima hakikat ini dan kena berubah. Sebahagiannya sudah sedar dan beralih menjadi pemandu teksi e-hailing. Lebih menarik sikap buruk sebahagian pemandu teksi hilang apabila menyertai e-hailing.

Kemunculan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber ini adalah satu fenomena global. Pemandu-pemandu teksi tradisional di seluruh dunia juga berhadapan dengan masalah yang sama seperti di Malaysia. Bagi menangani perkembangan tersebut banyak syarikat teksi mengambil keputusan menyahut perubahan ini. Mereka membuat pelaburan dalam sektor ini.

Syarikat-syarikat teksi tempatan sepatutnya juga tidak terkecuali menyertai perubahan di seluruh dunia ini. Model perniagaan yang diperkenalkan oleh e-hailing juga berdaya maju dan menguntungkan para pemandunya. Syarikat-syarikat teksi dan para pemandu perlu bersedia untuk bersaing dengan sihat dan bukan berterusan menyalahkan perkhidmatan e-hailing.

Tindakan tidak habis-habis menyalahkan pihak berkuasa atau kerajaan juga tidak wajar. Mengugut untuk mengadakan demonstrasi bagi melumpuhkan perkhidmatan itu juga bukan jalan penyelesaian malah dilihat tidak ke manapun. Ketika ramai dalam kalangan pemandu teksi sudah menjadi pemandu Grab, perbuatan itu adalah tindakan sia-sia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN