Tawaran latihan industri halal - Utusan Malaysia

Tawaran latihan industri halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) melebarkan peranannya untuk menjadi destinasi utama pada peringkat global bagi menawarkan kepakaran dan latihan berkaitan halal apabila memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara USIM dengan Longmai (HK) Global Halal Resource Centre Limited di Henan, China baru-baru ini.

Kenyataan akhbar Pusat Komunikasi Strategik USIM menyebut, menerusi MoA ini, USIM melalui Graduate School of Muamalat (GSM) akan menawarkan khidmat dan tenaga pakar halal universiti untuk menyediakan latihan halal kepada pemain industri halal di China. 
Bentuk latihan yang disediakan berfokuskan kepada tiga platform iaitu Halal Industry Foundation Course, Halal Industry Foundation e-Course dan Professional Halal Industry Executive Program. 
Ia akan diadakan di China dan Malaysia mengikut keperluan semasa dalam tempoh dua tahun.
Longmai (HK) Global Halal Resource Centre Limited yang beroperasi di Zhengzhaou, Henan terlibat dalam perdagangan makanan dan minuman halal, perundingan dan perkhidmatan pengurusan melalui program kerjasama dengan penyedia latihan/pendidikan yang diiktiraf. 
Di samping itu, syarikat ini juga menyediakan Perunding Halal Profesional dan berdedikasi untuk membantu pelanggan mereka mendapatkan Pensijilan Halal MS1500: 2009 atau perkara yang berkaitan dengan halal yang lain. Pemeteraian MoA antara USIM dan Longmai ini amat bermakna kerana telah disaksikan sendiri oleh Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Tuanku Canselor USIM. 
Tuanku Canselor berada di Henan, China bersama delegasi USIM yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Roshada Hashim sempena Lawatan Kerja Rasmi USIM ke China. 
“USIM amat berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak industri luar negara untuk kita melatih mereka dalam aspek halal makanan. Kita sedia maklum China kini begitu agresif menerokai industri halal ini dan kemampuan kita menawarkan latihan halal adalah selari dengan peranan Malaysia yang diiktiraf kualiti pensijilan halalnya oleh dunia” ujar Roshada.
USIM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama setahun bersama Longmai sebelum ini dengan kumpulan pertama yang menjalani latihan halal di bawah seliaan USIM telah berjaya menamatkan kursus mereka baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN