Taufan Willa badai kawasan pantai barat Mexico - Utusan Malaysia

Taufan Willa badai kawasan pantai barat Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESCUINAPA, Mexico – Taufan Willa membadai pantai barat Mexico kelmarin dengan tiupan angin kencang dan hujan lebat sebelum menjadi lemah dan dikategorikan sebagai ribut tropika ketika ia menuju ke pedalaman.

Ribut kuat itu yang merupakan taufan maksimum Kategori 5 pada Isnin lalu, menjadi ribut Kategori 3 ketika menghala ke daratan.

Pakar-pakar ramalan cuaca memberi amaran bahawa ribut itu masih berisiko menyebabkan banjir besar tanah runtuh.

Bagaimanapun, paras air laut menurun semalam, manakala Taufan Willa pula dijangka reda menjelang waktu tengah hari, kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Lebih 4,250 orang dipindahkan dari beberapa lokasi beri­siko tinggi termasuk pelancong yang sedang bercuti di kawasan pesisir pantai.

Mereka ditempatkan di 38 pusat perlindungan sementara.

Di sebuah pusat perlindu­ngan di Escuinapa, bandar yang me­nempatkan 30,000 penduduk dan berada di laluan ribut itu, penduduk berpindah menjelang ketibaan bencana berkenaan.

“Harap ribut ini berakhir segera supaya kami boleh pulang ke rumah,” kata seorang petani berusia 44 tahun, Epigmenio Cardenas.

Ketika kemuncaknya, Taufan Willa membawa angin berkelajuan 195 kilometer sejam.

Ribut yang semakin lemah itu dijangka membawa purata hujan 15 hingga 30 sentimeter ke beberapa kawasan di negeri Sinaloa, Nayarit dan Jalisco. 
– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN