KOTA BHARU 22 Okt. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri ini mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya menarik balik kuasa melantik Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diberikan kepada kerajaan Pas Kelantan.
Ketua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, Asran Alias berkata, langkah tersebut amat penting bagi mencapai tujuan asal penubuhan MPKK untuk perpaduan serta mengelakan perpecahan yang lagi besar dalam komuniti kampung.
Beliau berkata, kerajaan Pas Kelantan mengambil kesempatan ke atas keterbukaan kerajaan Pusat dalam isu tersebut apabila membuat pelantikan atas fahaman politik.
“Armada difahamkan kerajaan Pas Kelantan masih lagi bermain politik dalam pelantikan MPKK ini. Sepatutnya pemilihan MPKK dibuat secara telus tanpa mengira fahaman politik.
“Pemilihan pengerusi MPKK mestilah dibuat secara terbuka dengan melibatkan Komuniti Kampung bukannya diputuskan dalam mesyuarat Pas cawangan ataupun kawasan sahaja, selain itu, kerajaan Pas Kelantan juga belum lagi melantik pengerusi, setiausaha dan ahli-ahli bagi MPKK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai MPKK Kelantan yang diwujudkan dikesemua 792 kampung di seluruh negeri ini.
Pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan.
Asran berkata, kerajaan Pas Kelantan mesti bertanggungjawab ke atas pelantikan tersebut supaya perpaduan di antara komuniti semakin utuh.
“Pelantikan ini penting bagi melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan sama ada Persekutuan mahupun negeri dan ketidak telusan kerajaan negeri akan mengundang pelbagai masalah terutamanya melibatkan hal—Hal berkaitan Kerajaan Persekutuan dengan komuniti setempat.
“Ketidaktelusan kerajaan Pas Kelantan akan mengundang pelbagai masalah terutamanya melibatkan hal-Hal berkaitan Kerajaan Persekutuan dengan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










