MUKADIMAH: TIDAK ambil pengajaran, tidak belajar daripada kesilapan.
Itu yang disimpulkan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris kepada wartawan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL berhubung tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, Pulau Pinang kelmarin yang mengorbankan empat orang setakat ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Siapa yang perlu bertanggungjawab dalam tragedi terbaharu ini?
S. M. MOHAMED: Adalah jelas, kerajaan negeri tidak belajar daripada kesilapan dalam tragedi tanah runtuh di Tanjung Bunga, Pulau Pinang yang mengorbankan 11 nyawa tahun lalu. Sebab itu, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian terbaharu ini kerana terlepas pandang serta kelemahan dalam aspek pemantauan dan langkah keselamatan di tapak projek mereka sendiri.

Apa kelemahan ketara dalam projek itu?
Dalam lawatan CAP semalam, kita dapat melihat dengan jelas berlakunya penggondolan dan pembersihan kawasan hutan pada skala besar di Bukit Kukus. Malah, terdapat lereng bukit yang pada penglihatan kita ditarah pada kedudukan sehingga 90 darjah. Lebih menakutkan, kita tidak melihat ada usaha melindungi lereng bukit yang ditarah itu serta sebarang usaha untuk menstabilkan tanah dan ini adalah punca utama tanah runtuh boleh berlaku.
Apakah kelemahan pemantauan pihak berkuasa menjadi antara punca?
Adalah mengejutkan untuk mengetahui projek itu adalah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mana sekali gus menunjukkan kerajaan negeri sendiri gagal memastikan aspek-aspek keselamatan dalam projek mereka.
Malah, di sebalik arahan menghentikan kerja-kerja di tapak projek yang dikeluarkan beberapa hari sebelum kejadian kerana kejadian rasuk runtuh, namun bencana tanah runtuh tetap berlaku. Ini menunjukkan tiada langkah-langkah keselamatan dan pencegahan serius diambil di tapak projek itu dalam melindungi keselamatan pekerja serta bagi mengelak berlakunya bencana.
Bagaimana pula dengan faktor cuaca seperti hujan yang dikatakan antara punca?
Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh memberi alasan kononnya kejadian itu adalah kerana ‘kerja Tuhan’ seperti hujan lebat. Sebab sesiapa pun termasuk yang bukan pakar geologi mengetahui sekiranya kawasan lereng bukit yang ditarah tidak dilindungi dengan sempurna, maka ia boleh mengundang kepada kejadian tanah runtuh.
Apa yang diharapkan CAP selepas tragedi ini?
Kita mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan semua projek pembangunan lereng bukit di negeri ini sehingga pemeriksaan berhubung keselamatan dan kemusnahan alam sekitar dilakukan. Ini bagi memastikan langkah sewajarnya diambil bagi mengelak tragedi sama terus berulang.
Tragedi Bukit Kukus adalah satu amaran kepada penduduk di sekitar kawasan pembangunan projek itu yang mana mereka kini berada dalam situasi tidak selamat.
TIDAK ambil pengajaran, tidak belajar daripada kesilapan. Itu yang disimpulkan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris kepada wartawan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL berhubung tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, Pulau Pinang kelmarin yang mengorbankan empat orang setakat ini.










