MELAKA 29 Okt. – Kerajaan negeri mahu semua agensi dan jabatan kerajaan negeri lebih proaktif menangani isu sensitif melibatkan agama bagi mengelak ketegangan antara rakyat berbilang bangsa di negeri ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, agensi serta jabatan tidak boleh memandang remeh perkara tersebut sebaliknya perlu mengambil langkah serius agar isu-isu membabitkan sensitiviti agama tidak berlaku.
Sehubungan itu menurutnya, semua pihak terutamanya jabatan dan agensi perlu melakukan pemantauan bagi setiap perlaksanaan program khususnya di tempat milik kerajaan.
“Pihak berwajib agama perlu lebih berhemah dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas mereka dalam menjaga hal berkaitan sensitiviti agama di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini baru-baru ini.
Menurut Adly, kerajaan negeri juga meminta agar kaedah pengurusan program terutamanya dari segi penyediaan makanan yang dimasak perlu diperhalusi dan ditambah baik.
“Kita boleh melihat praktis serta amalan di negara maju contohnya meletakkan alas di tempat memasak bagi menghindari tapak jualan daripada dikotori dengan bahan-bahan berminyak selain memudahkan kerja pembersihan,” ujarnya.
Sementara itu tambah beliau, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan di negeri ini daripada 16 tahun kepada 18 tahun manakala had bagi lelaki kekal 18 tahun.
“Bagaimanapun, perkahwinan di bawah umur 18 tahun bagi orang Islam masih dibolehkan dengan syarat perlu dilakukan dengan mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah,” katanya.









