PULAU PINANG 22 Okt. – Wanita warga Myanmar, Khin Aye Khaing yang mayatnya ditemukan di tapak tanah runtuh Bukit Kukus, Relau di sini, dipercayai bukan pekerja yang terlibat dengan pembinaan projek berkenaan.
Difahamkan, Aye Khaing, 36, bekerja di sebuah kilang pembuatan di Bukit Minyak di sini, berdasarkan penemuan kad kerja Jabatan Imigresen miliknya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berkenaan.
“Mungkin, kerana butiran mengenai wanita itu sudah diperoleh pegawai polis, namun saya berharap biar siasatan penuh dijalankan terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh suaminya, namun tiada laporan polis dibuat berbanding waris mangsa-mangsa dari Indonesia lain.
Sementara itu, memasuki hari keempat kejadian, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan lapan mayat pekerja yang tertimbus ketika runtuhan berlaku pada pukul 2 petang Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE










