Tanah runtuh, projek pengangkutan mega di P. Pinang cetus kebimbangan penduduk - Utusan Malaysia

Tanah runtuh, projek pengangkutan mega di P. Pinang cetus kebimbangan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Okt. – Kerajaan Negeri Pulau Pinang didesak menilai semula dan menangguhkan projek pengangkutan mega di negeri ini berikutan kejadian tragedi tanah runtuh di Bukus Kukus, Relau di sini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abd. Rahim berkata, projek mega pengangkutan di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri itu kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat berhubung aspek keselamatan mereka.

Apatah lagi, kata beliau, projek-projek itu kelak juga akan melibatkan kawasan-kawasan berisiko dan sensitif alam sekitar seperti penerokaan hutan dan tambakan laut.

Lebih membimbangkan, tambahnya, projek di Bukit Kukus adalah di bawah seliaan secara langsung kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan sejauh mana kemampuan dan kecekapan mereka mengendalikan projek berisiko.

“Tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus yang mengorbankan nyawa itu adalah alasan utama mengapa pelbagai pihak di negeri ini membantah rancangan PIP oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Adalah tidak wajar untuk kerajaan negeri berterusan mengetepikan suara-suara kebimbangan penduduk di negeri ini dan berdegil untuk melaksanakan projek pengangkutan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak lepas tangan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus.

Ujar beliau, meskipun mangsa yang terlibat adalah warga asing, namun tragedi itu tidak boleh disimpulkan sebagai kemalangan di tempat kerja semata-mata dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN