PULAU PINANG 21 Okt. – Polis akan menumpukan kawasan yang menjadi lokasi kegemaran unit anjing pengesan, K9 dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau yang memasuki hari ketiga hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kawasan tersebut dikenal pasti sebagai sektor satu dan dua pencarian dalam operasi berkenaan.
“Kita akan cuba cari tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang itu dan dua mangsa terbaharu yang dikatakan turut hilang itu juga kita ambil kira.
“Apapun, untuk operasi hari ini, kita tak akan kira jumlah mangsa yang terlibat. Kita akan tumpukan kawasan yang kita rasa sahih sahaja dan kita akan cari dan gali sampai puas hati,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Che Zaimani, kerja-kerja mencari dan menyelamat hari ini juga akan dipantau oleh sepasukan anggota dari Jabatan Mineral dan Geosains untuk melihat pergerakan tanah bagi memudahkan kerja-kerja tersebut.-UTUSAN ONLINE










