PULAU PINANG 20 Okt. – Jumlah mangsa tertimbus akibat kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong di sini disahkan seramai empat orang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sehingga pukul 12.30 malam tadi, kesemua mangsa merupakan pekerja warga asing iaitu dua (Indonesia) serta masing-masing seorang dari Bangladesh dan Myanmar.
Katanya, rakyat Myanmar berkenaan dikenal;pasti sebagai seorang wanita , Khin Aye Khaing berusia 33 tahun.
“Dua mangsa dari Indonesia ialah Subairi dan Bakhtiar manakala pekerja warga Bangladesh pula dikenali sebagai Mithu Hossain berusia 30 tahun, “ katanya.
Tambah beliau, jumlah kematian ketika ini kekal dua orang iaitu Attrul (Bangladesh) berusia 35 tahun dan Samsul, 19, dari Indonesia.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat hujan lebat sehingga menyebabkan tanah dari atas bukit runtuh dan menimbusi kontena bertingkat yang dijadikan rumah pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










