pULAU PINANG 20 Okt. – Di sebalik ungkapan popular ‘tiada sebatang pokok yang ditebang’ di negeri ini oleh pemimpin-pemimpin DAP ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, situasi sebenar berbeza sama sekali.
Ini kerana, pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Pulau Pinang misalnya boleh melihat dengan jelas kesan penggondalan bukit khususnya Bukit Relau atau lebih dikenali sebagai Bukit Botak.
Dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Projek Jalan Bukit Kukus di sini petang semalam yang sehingga kini telah mengorbankan empat nyawa, hakikatnya lebih daripada sebatang pokok telah ditebang.
Projek berkenaan yang bernilai RM545 juta telah bermula pada 2016 ketika era pentadbiran bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ahli Jawatankuasa Penang Forum, Dr. Kam Suan Peng berkata, walaupun kerajaan negeri memberi maklum balas bahawa kerja-kerja pemantauan dilakukan di kawasan projek, namun jaminan berkenaan tidak mencukupi.
Katanya, ini kerana kawasan bukit di Paya Terubong telah lama terdedah kepada kerja-kerja pembinaan menyebabkan tanah di kawasan itu tidak stabil.
“Mereka (pihak terlibat) menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas dan tindakan itu berulang sedangkan cara itu tidak mampu menahan hakisan tanah dan tanah runtuh bagi tempoh yang lama,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Online mendapati, laluan sepanjang projek terutama ke arah Balik Pulau yang digunakan ribuan kenderaan setiap hari sangat ‘menakutkan’ kerana terdapat kawasan tanah runtuh hanya ditutup dengan kanvas selain kemusnahan kawasan hutan yang dapat dilihat dengan jelas. – UTUSAN ONLINE










