PULAU PINANG 21 Okt. – Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, di sini, akan diteruskan malam ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ini kerana pasukan penyelamat telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains berhubung status keselamaatan tanah di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun sekiranya berlaku hujan lebat, operasi akan dihentikan, ” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Beliau memberitahu, sehingga kini tiga pekerja warga asing dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan tanah tersebut.
“Saya difahamkan, seramai 80 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terlibat dan kini kerja-kerja mencari mangsa lebih mencabar apabila kedalaman kawasan runtuh yang dikorek mencecah 10 meter,” katanya.
Sehingga pukul 7 malam ini, seramai tujuh mayat telah dikeluarkan sejak bencana itu berlaku kira-kira pukul 2 petang Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











