Tanah runtuh: Mayat kelima dan keenam ditemukan - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Mayat kelima dan keenam ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Okt. – Dua lagi mayat mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini, ditemukan tengah hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terbunuh dalam tragedi itu seramai enam orang setakat ini.

Mayat pertama dikenali Mithu Hossain, 30, yang dijumpai kira-kira pukul 12.13 tengah hari manakala mayat kedua dikenali sebagai Mustak Hossain, 25, ditemukan lima minit kemudian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar berkata, kedua-duanya yang juga warga Bangladesh dijumpai dalam keadaan bertindih di sektor kedua pencarian dan dipercayai tidak mempunyai sebarang talian persaudaraan walaupun memiliki nama hampir sama.

Pada masa sama, Saadon juga mengesahkan mayat kedua iaitu Mustak yang ditemukan itu tidak tersenarai dalam kalangan mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menjumpai mayat mangsa lain yang juga tidak disenaraikan sebagai orang hilang dalam tragedi berkenaan.

“Bagaimanapun, kita akan memberi tumpuan untuk mencari baki empat lagi mangsa termasuk dua yang dilaporkan hilang semalam terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN