PULAU PINANG 23 Okt. – Di sebalik kesungguhan kerajaan negeri untuk meneruskan projek pembinaan raya di Bukit Kukus yang terlibat dengan tragedi tanah runtuh di sini, pakar pembinaan dan bencana menyarankan beberapa aspek penting lain turut diberi perhatian.
Pensyarah Pengurusan Bencana, Pembangunan, Perancangan dan Kajian Perumahan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ruhizal Roosli berkata, kajian lanjut perlu dilakukan sama ada kesan tanah runtuh berkenaan berbahaya kepada kerja-kerja pembinaan atau sebaliknya.
Ujar beliau, banyak faktor yang menyumbang kepada kejadian tanah runtuh seperti kekuatan serta kestabilan tanah yang diukur segi fizikalnya.
Jelasnya, perkara itu melibatkan darjah kecerunan, ciri tanah seperti kekuatan, kebolehtelapan, tekstur dan kandungan kerikil serta karakter air.
“Sekiranya kemalangan seperti ini berlaku di negara-negara maju, sudah pasti projek ini akan ditangguhkan terlebih dahulu sehingga faktor keselamatan dipatuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan projek pembinaan jalan raya berkembar itu akan tetap diteruskan selepas mendapat kebenaran serta kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). – UTUSAN ONLINE











