Tanah runtuh: Kemalangan atau pembangunan luar kawalan? - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Kemalangan atau pembangunan luar kawalan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 20 Okt. – Kerajaan Negeri Pulau Pinang didesak menilai bencana tanah runtuh di negeri ini secara lebih serius iaitu sama ada disebabkan kemalangan semata-mata atau berpunca daripada pembangunan tidak terkawal.

TAN TEIK CHENG
TAN TEIK CHENG

Menurut Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng, kerajaan negeri sering kali mewajarkan aktiviti pembangunan di negeri ini berdasarkan aspek undang-undang dan peraturan berkaitan serta mengetepikan kebimbangan yang disuarakan penduduk.

Tambah beliau, tindakan yang disifatkan ‘angkuh’ kerana cuba menutup mulut pelbagai pihak dengan peruntukan undang-undang itu secara berterusan mengundang pelbagai tragedi termasuk kejadian tanah runtuh yang meragut banyak nyawa.

“Berapa banyak lagi bencana tanah runtuh harus berlaku dan berapa banyak lagi nyawa yang perlu terkorban sebelum Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar sedar berhubung masalah pembangunan di kawasan bukit yang tidak terkawal di negeri ini?” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri sepatutnya menyedari tanggungjawab mereka dalam memastikan kerja-kerja mitigasi tanah dan menyelamatkan kawasan lereng bukit yang ditarah.

Katanya, pihak pemaju dan kontraktor yang terlibat perlu dipantau supaya benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain mematuhi aspek keselamatan pekerja dan penduduk setempat dalam projek dijalankan mereka.

“Tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah tahun lalu sepatutnya sudah menjadi pengajaran berguna dan menyakitkan untuk kerajaan negeri memberi perhatian lebih serius kepada isu pembangunan tanpa kawalan di kawasan lereng bukit di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN