PULAU PINANG 20 Okt. – Polis meminta mana-mana pihak tidak membuat spekulasi berhubung jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, jumlah tersebut hanya akan diketahui sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan tapak projek itu selesai sepenuhnya.
“Kejadian itu berlaku pada hari Jumaat dan mungkin ada (pekerja) yang tidak balik selepas solat Jumaat.
“Dalam hal ini, kita menunggu pengesahan daripada rakan-rakan dan saudara-mara mangsa sebelum membuat pengesahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Che Zaimani, berdasarkan maklumat yang telah disahkan itu, sehingga kini hanya sembilan mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Katanya, tiga daripada mereka telah ditemukan meninggal dunia, tiga cedera manakala tiga lagi masih hilang.
“Seorang daripada yang cedera itu ialah warga Bangladesh yang patah kaki dan dua lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita yang sedang sarat mengandung lapan bulan.
“Kesemua mereka termasuk warga Bangladesh yang patah kaki itu bagaimanapun kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE











