PULAU PINANG 22 Okt. – Seorang pakar tanah dari Universiti Sains Malaysia (USM) mempersoal sama ada pihak lain turut memantau projek jalan raya berkembar di Bukit Kukus di sini yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh selain Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Pensyarah Pengurusan Bencana, Pembangunan, Perancangan dan Kajian Perumahan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Dr. Ruhizal Roosli berkata, projek itu yang dijalankan di kawasan sensitif lereng bukit sepatutnya turut dipantau pihak lain dengan kepakaran khusus termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).
Bagaimanapun, menurutnya, beliau difahamkan JKR tidak memantau projek itu namun tetap perlu diteruskan kerana melibatkan pembinaan infrastruktur dan utiliti.
“Sebab itu jika pihak dengan kepakaran khusus seperti JKR tidak memantau, maka dengan sendirinya tragedi tanah runtuh tersebut sudah boleh dijangka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ruhizal berkata, setiap kerja melibatkan pemotongan bukit bagi projek infrastruktur dan utiliti memerlukan laporan geoteknikal tanpa mengira saiz atau kecerunan.
“Bagi projek pembangunan yang mencapai 10 meter ketinggian dan kecerunan 25 darjah, laporan berkenaan perlu dipantau dari aspek pematuhannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE










