KUANTAN – Jalan Kuala Terla dekat Kampung Raja, Batu 51, Cameron Highlands ditutup satu arah bermula pukul 8 malam tadi sejurus berlaku tanah runtuh di laluan berkenaan lewat petang hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, kejadian pukul 5 petang itu menyebabkan kedua-dua laluan dilitupi tanah akibat runtuhan.
“Jalan tersebut tidak dapat dilalui semua kenderaan kedua-dua arah sejurus tanah runtuh. Pihak JBPM menunggu anggota Roadcare sebelum kerja pembersihan jalan dapat dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Zainal Yusof pula berkata, kerja pembersihan di laluan tersebut masih giat dijalankan dengan kerjasama JBPM, polis, Roadcare serta Jabatan Kerja Raya.
“Kejadian itu menyebabkan laluan dihalang runtuhan tanah kira-kira 80 meter. Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada struktur tanah yang lemah akibat hujan lebat.
“Buat masa ini laluan dibuka satu hala dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati,” katanya yang memaklumkan tiada kecederaan atau kemalangan akibat kejadian tersebut. – K! ONLINE











