Tanah runtuh di Cameron Highlands bukan sebab aktiviti kebun haram - Utusan Malaysia

Tanah runtuh di Cameron Highlands bukan sebab aktiviti kebun haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Tragedi tanah runtuh di Terla, Cameron Highlands yang mengorbankan dua wanita dan seorang lelaki Myanmar pada 14 Oktober lalu bukan berpunca daripada kegiatan penerokaan lereng bukit secara haram.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kejadian tersebut berpunca daripada struktur tanah yang lemah akibat hujan lebat di kawasan berkenaan. 

“Tidak ada pencerobohan tanah (berkaitan kebun sayuran secara haram) di tempat itu. Tanah runtuh bukan disebabkan kebun haram, tetapi sebab hujan lebat,” ujar Muhammad Safian pada sidang akhbar di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebanyak 80 peratus kawasan hijau di Cameron Highlands yang dijadikan kebun secara haram telah dibersihkan pihak berkuasa menerusi Ops Gading sejak 2014.

Sebagai rekod, dianggarkan kira-kira 7,000 hektar kawasan lereng bukit di Cameron Highlands mengalami kemusnahan akibat kegiatan penerokaan secara haram bagi tujuan membuka kebun pertanian tanpa mengikut piawaian. 

“Sebanyak 20 peratus lagi (kebun haram) sedang dipantau pihak Pejabat Tanah dan Galian.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan tidak ada lagi penerokaan secara haram di Cameron Highlands,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini