PULAU PINANG 23 Okt. – Ketiadaan pemantauan ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan dikenal pasti sebagai antara faktor yang menjurus kepada berlakunya tragedi tanah runtuh seperti di Bukit Kukus, Relau, Jumaat lalu.
Pakar tanah runtuh, pengurusan bencana dan hakisan tanah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Habibah Lateh berkata, dalam hal ini, jurutera projek sepatutnya turun padang melihat sendiri bagaimana kerja-kerja di lapangan dilakukan.
Pada masa katanya, kehadiran mereka juga penting bagi memastikan para pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan.
“Kalau diikutkan dari segi perancangan struktur oleh kerajaan negeri, semuanya telah termaktub dengan baik seperti kerja-kerja pembinaan tidak boleh dilakukan di kawasan melebihi 76 meter dan tidak boleh dibina di kawasan cerun melebihi 26 meter.
“Tapi pelaksanaannya macam mana? Siapa yang pantau? Jika ada pemantauan, sudah pasti kejadian seperti tanah runtuh ini dapat dielakkan,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Habibah berkata, tanah yang digunakan untuk kerja-kerja menambak di kawasan projek itu juga tidak sesuai kerana bersifat peroi dan longgar.
“Sebab itu perlu ada pemantauan kerana kawasan itu juga dipenuhi batu-batu granit yang jika diluluhawakan akan bertukar menjadi pasir.
“Saya tidak tahu sama ada kajian terperinci dilakukan sebelum ini atau tidak, tetapi dari segi topografi, ia perlu dibina mengikut garisan kawalan dan ketahanan tanah juga perlu diuji terlebih dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










