PULAU PINANG 20 Okt. – Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini akan diteruskan semula pukul 8 pagi ini selepas dihentikan ekoran hujan lebat pukul 5 pagi tadi.
Menurut jurucakap pasukan bomba dan penyelamat negeri, setakat ini, tiga mayat telah ditemui dengan terbaharu mayat warga Myanmar, Khin Aye Khaing, 33, yang ditemukan kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Mayat wanita berkenaan disahkan oleh suaminya yang juga merupakan pekerja di tapak pembinaan lebih raya di situ.
Sementara itu, jurucakap berkenaan menambah, kerja-kerja mencari berdepan kesukaran berikutan keadaan dan struktur tanah yang tidak kukuh.
“Situasi juga semakin mencabar berikutan hujan lebat awal pagi tadi dan kita bimbang jika berlaku pergerakan tanah, namun kita juga sudah dilengkapi dengan alat pengesan kecemasan,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, setakat pagi ini, seramai 125 anggota penyelamat dari pelbagai jabatan dan unit masih meneruskan kerja-kerja mencari mangsa dengan sokongan empat anjing pengesan dari unit K9.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, sebanyak enam kontena dan beberapa pondok kayu yang dijadikan rumah pekerja warga asing tertimbus akibat tanah runtuh di tapak projek pembinaan jalan raya di Bukit Kukus di sini.
Kejadian itu menyebabkan seramai tiga maut iaitu masing-masing rakyat Indonesia; Bangladesh dan Myanmar manakala sekurang-kurangnya empat lagi dikhuatiri masih tertimbus. – UTUSAN ONLINE










