PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Majlis Keselamatan PBB dijadualkan mendengar taklimat daripada ketua siasatan badan itu mengenai kekejaman tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingya minggu depan, kata beberapa diplomatnya semalam.
Sembilan buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis meminta diadakan taklimat itu yang mungkin ditentang oleh China kerana mempunyai hubungan baik dengan tentera Myanmar.

Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ini meskipun menerima bantahan daripada Myanmar yang menolak penemuan fakta oleh PBB mengenai kekejaman itu.
Misi mencari fakta kekejaman yang dikeluarkan dalam bentuk satu laporan menjadi topik hangat bulan lalu sekali gus menggesa Majlis Keselamatan PBB mengheret Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague atau membuat ad hoc tribunal jenayah antarabangsa seperti dilakukan terhadap kekejaman di Yugoslavia.
Laporan itu mengatakan bahawa pemimpin tertinggi tentera Myanmar termasuk Ketua Komander Min Aung Hlaing (gambar kecil) perlu disiasat dan didakwa kerana pembunuhan beramai-ramai di negeri Rakhine.
Myanmar menolak tuduhan kekejaman tenteranya yang memaksa lebih 700,000 etnik Rohingya meninggalkan negara itu dan melarikan diri ke Bangladesh.
Duta Myanmar ke PBB, Hau Do Suan dalam satu surat kepada Majlis Keselamatan minggu ini berkata, kerajaannya membantah keras permohonan untuk mendengar taklimat pengerusi misi siasatan tersebut.
Britain, Perancis, Peru, Sweden, Ivory Coast, Belanda, Poland, Kuwait dan AS memohon mesyuarat diadakan meskipun masih boleh disekat melalui prosedur undian.
Jika tiada sebarang tindakan untuk menyekat mesyuarat itu, pihak majlis akan mendengar taklimat daripada Marzuki Darusman, seorang peguam dari Indonesia yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk mempengerusikan misi berkenaan.
Dalam laporannya, misi itu mengatakan terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa kekejaman itu dilakukan dengan niat memusnahkan etnik Rohingya sekali gus menjamin dakwaan pembunuhan beramai-ramai serta menyebabkan lebih 700,000 menjadi pelarian. – AFP










