Isu ini diberi penekanan khusus dalam laporan Financial Stability Review 2018 oleh Bank Negara Malaysia baru baru ini dengan menggunakan data setakat 30 Jun 2018.
Laporan mendapati, terdapat 97 peratus daripada 1.26 juta kakitangan kerajaan mempunyai hutang. Ini merupakan 20 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah di Malaysia.
Pada 28 Februari 2018, hutang kakitangan kerajaan mencecah RM236 bilion bersamaan dengan 17 peratus daripada KDNK negara dan sebanyak 64 peratus atau lebih kurang dua pertiga kakitangan kerajaan mempunyai pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Ia menjadi persoalan awal yang kami ajukan kepada peserta seminar kewangan yang kami kendalikan. Ramai juga yang ‘malu’ mengangkat tangan untuk menyatakan mereka mempunyai hutang tetapi hakikatnya kami sudah tahu dengan keadaan sebenarnya.
Trend atau tabiat berhutang sudah boleh dianggap sebagai budaya kakitangan kerajaan. Adakah ini akibat daripada desakan kos sara hidup, berbelanja di luar kemampuan atau cara pemasaran hutang yang agresif oleh pihak bank?
Jika dilihat, fakta bahawa 47 peratus merupakan pembiayaan kepenggunaan boleh juga dirumuskan yang sebahagian besar adalah untuk kepenggunaan seperti pembiayaan kenderaan,kad kredit dan pinjaman peribadi.
Sebanyak 63 peratus daripada kakitangan kerajaan merupakan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan ini amat membimbangkan seandainya trend atau budaya berhutang ini berlarutan. Lebih daripada setengah pendapatan bulanan mereka digunakan untuk membayar hutang berbanding purata nasional yang hanya satu pertiga.
Apakah semua angka ini memberi maksud pada diri anda sendiri? Jom kirakan untuk diri sendiri dan keluarga. Satu nisbah yang mesti kita ketahui adalah nisbah hutang. Cara mengiranya amat mudah.
Jumlahkan kesemua ansuran bulanan hutang anda dan bahagikan dengan pendapatan bersih anda.
Seandainya berikut adalah ansuran bulanan anda:
1) Ansuran rumah – RM900
2) Ansuran kenderaan – RM800
3) Ansuran pinjaman peribadi- RM400
4) Ansuran kad kredit- RM300
Jumlah keseluruhan – RM2,400
Katakan pendapatan isi rumah iaitu suami dan isteri adalah RM6,000, ambil angka RM2,400 dan dibahagikan dengan RM6,000. Nisbah hutang anda adalah 0.4 atau 40 peratus.
Ini angka atau nisbah yang sihat berbanding apa yang didapati dalam laporan di atas. Maksud di sebalik angka ini adalah setiap bulan apabila anda menerima gaji bulanan, peruntukan 40 peratus adalah untuk bayar hutang. Sebaliknya, statistik menunjukkan 52 peratus daripada pendapatan kakitangan kerajaan digunakan untuk bayar hutang.
Sebelum anda memikirkan untuk mengambil hutang kira dahulu nisbah hutang semasa anda.
Tujuan berhutang juga tidak sepatutnya untuk kepenggunaan atau berbelanja. Semak balik perbezaan antara ‘perlu’ dan ‘mahu’.
Situasi kewangan yang runcing harus ditangani awal supaya ia tidak berlarutan dan membebankan. Jika anda perlu bantuan ramai perunding kewangan yang boleh membantu. Layari laman web kami www.hijrahwealth.my sekarang.










