TAIPING 29 Okt. – Tahanan lelaki yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Taiping kelmarin berjaya ditangkap pagi tadi.
Pang Hung Boon, 37, diberkas oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di tepi jalan Medan Kamunting 2 pada pukul 4.45 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, tangkapan dibuat setelah pihak polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5.
Katanya, pihak polis kemudiannya telah memperkenalkan diri namun suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri.
“Semasa pihak polis hendak melaksanakan tangkapan telah berlaku pergelutan namun lelaki itu akhirnya berjaya ditahan dan dibawa balik ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE









