TAIPING – Polis sedang giat mengesan seorang tahanan lokap kes dadah yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Taiping di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek, Pang Hung Boon, 37, yang berasal dari Taman Desa Jaya, Kamunting dekat sini telah melarikan diri kira-kira pukul 7.33 petang.
Jelasnya, lima minit sebelum kejadian, seorang lelaki yang merupakan pembekal makanan tahanan telah masuk ke dalam lokap untuk menghantar hidangan makan malam.
“Ketika anggota polis bertugas membuka pintu utama untuk lelaki itu masuk, suspek telah meluru keluar dari pintu itu dan melarikan diri ke arah kawasan parkir bengkel kenderaan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Taiping.
“Suspek bertindak memanjat pagar dan melarikan diri. Anggota polis yang bertugas cuba mengejar mangsa namun, gagal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Mohamad, usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan yang melibatkan pegawai, anggota IPD dan Unit Pengesan Anjing (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Jelasnya, setakat ini, suspek yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah masih belum dapat dikesan.
“Suspek ditahan reman mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) bermula kelmarin untuk tindakan buang daerah.
“Saya menasihatkan agar orang ramai yang bertemu dengan suspek dapat menyerahkan lelaki itu kepada balai polis berdekatan,” katanya. – K! ONLINE










